Pulau bebas cukai: KPDNHEP Perak pantau harga barang di Pangkor

Saifullizan (dua dari kiri) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasar raya Tesco Ipoh di sini hari ini.
Saifullizan (dua dari kiri) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasar raya Tesco Ipoh di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mula membuat pemantauan harga barangan dan perkhidmatan di Pulau Pangkor menjelang pelaksanaan pulau bebas cukai (PBC) pada Januari nanti.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pemantauan dan kajian telah dibuat pada awal Disember untuk melihat harga semasa barangan serta perkhidmatan di pulau tersebut.

Beliau berkata, perbandingan harga akan dibuat selepas 1 Januari nanti bagi melihat sama ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga atau sebaliknya.

"Pemantauan ini dibuat untuk pastikan tiada peniaga ambil keuntungan berlebihan sebab kita jangka bila pengumuman Pangkor sebagai pulau bebas cukai (PBC) dibuat akan ada peniaga ambil kesempatan. Bila pengumuman dibuat akan ada ramai pelancong dan bila ramai pelancong akan banyak aktiviti perdagangan.

"Jadi kita dah buat kajian, kita ambil harga pada bulan semasa dan akan ambil harga pada Januari atau setiap suku tahun harga barang-barang keperluan, perkhidmatan seperti hotel, restoran, salon dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasar raya Tesco Ipoh di sini hari ini.

Saifullizan menunjukkan perbandingan harga kentang yang merupakan salah satu barangan terkawal sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasar raya Tesco Ipoh di sini hari ini.
Saifullizan menunjukkan perbandingan harga kentang yang merupakan salah satu barangan terkawal sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasar raya Tesco Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran dan Pengurus Tesco Ipoh, Selvaa Thamby Rajah.

Sementara itu, Saifullizan berkata, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Cawangan Pulau Pangkor serta Majlis Perbandaran Manjung melalui taklimat dibuat berkaitan tindakan yang boleh diambil sekiranya peniaga menaikkan harga.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu KPDNHEP Perak juga akan mengadakan lawatan penanda aras ke salah sebuah pulau yang telah melaksanakan PBC untuk mendapatkan maklumat berkaitan masalah dan isu di pulau tersebut.

Saifullizan berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam usaha memastikan isu kenaikan harga barang ini tidak berlaku selepas pelaksanaan PBC nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!