PJM berjaya rekod nilai jualan sektor peruncitan RM661 bilion
PUTRAJAYA - Program Jualan Malaysia (JPM) yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merekodkan nilai jualan sektor peruncitan mencecah RM661 bilion sekali gus melebihi nilai sasaran awal RM500 bilion.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, PJM mencapai sasaran yang ditetapkan melalui peruntukan sebanyak RM10 juta kepada KPDN pada tahun lalu dengan mencatatkan 302,522 premis perniagaan mengadakan jualan murah sepanjang tahun berbanding 300,000 premis yang disasarkan.
"Pelaksanaan PJM pada 2022 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan kementerian dalam menyokong pemulihan semula ekonomi khususnya sektor ini dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk keluar berbelanja pasca pandemik.
"Sesi cabutan bertuah Belanja dan Menang PJM ini telah dilaksanakan sebanyak enam siri adalah inisiatif kerajaan untuk membantu memulih, merancak dan menghidupkan semula sektor peruncitan dalam negara sebagai penyumbang utama ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Pemenang ini merupakan peserta yang tidak mendapat sebarang hadiah sepanjang cabutan bertuah siri satu hingga lima iaitu mereka perlu membuat pembelian minimum RM100 dalam satu resit di sektor peruncitan fizikal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi cabutan bertuah siri akhir PJM di pusat beli-belah IOI City Mall di sini pada Sabtu.
Seramai 211 peserta telah diumumkan sebagai pemenang untuk siri satu hingga lima yang lalu bermula 1 Ogos 2022 hingga 24 Disember 2022.
Bagi siri akhir, 15 hadiah disediakan kepada peserta dengan johan, Nohashimah Nordin, 48, berjaya membawa pulang kereta Proton X50 dan tempat kedua, Mohd Sakhaf Saad, 61, pula mememenangi Perodua Ativa manakala ketiga Atiqah Abd Rahim Bun, 24, menerima motosikal Y15R.
Tambah Fuziah, peserta menghantar bukti pembelian menerusi aplikasi MySales Tracker yang dibangunkan oleh KPDN untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.
"Hasilnya, sebanyak 164,543 muat turun oleh pengguna berjaya dicatatkan.
"Aplikasi tersebut bertujuan memberikan kemudahan kepada peniaga dan pengguna bagi mendapatkan maklumat premis serta semakan berkaitan jualan murah seluruh negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!