NSL: Johor Jewels belum mahu dabik dada

Adri (tiga dari kiri) melancarkan serangan ke kubu Venom dalam aksi NSL 2023 di Bukit Kiara pada Sabtu. - Foto FB NSL.
Adri (tiga dari kiri) melancarkan serangan ke kubu Venom dalam aksi NSL 2023 di Bukit Kiara pada Sabtu. - Foto FB NSL.
A
A
A

JOHOR Jewels membuktikan statusnya sebagai juara bertahan apabila meneruskan rentak kemenangan setelah membenam pasukan tercorot, Negeri Sembilan Venom dalam saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu.

Pengalaman dan kualiti jelas memisahkan pasukan dari selatan tanah air itu apabila Johor Jewels yang dibimbing Tracey Robinson mendominasi sepenuhnya perlawanan untuk menang 70-18.

Gandingan mantap goal shooter (GS), An Najwa Azizan dan goal attack (GA), Adri Sheila Kannemeyer ternyata mudah buat Johor Jewels mengutip 19-1 pada suku pertama.

Situasi bertambah sukar buat Negeri Sembilan Venom apabila Farwiza Mohd Fauzi masuk sebagai GA menggantikan Adri pada suku kedua untuk Johor Jewels menokok jaringan 22-2.

Memasuki suku ketiga benteng Negeri Sembilan Venom yang menggandingkan Ainul Nadia Yusli sebagai goal keeper (GK) dan Nur Atiqah Othman bertindak selaku goal defence (GD) kian 'lemas' apabila Johor Jewels menambah mata 19-5.

Negeri Sembilan Venom menerusi GS, Nur Izzazrin Aize Ahmad Yani dan GA, Nur Afiqah Mohd Hishamuddin cuba bangkit pada suku terakhir, namun terikat jaringan 10-10 belum cukup untuk menafikan kemenangan Jewels 70-18.

Penolong jurulatih Johor Jewels, Fazira Mesnan selesa merendah diri dengan kemenangan keempat itu sambil menganggap perjalanan anak-anak buahnya masih panjang.

“Saya berpuas hati dengan prestasi pemain, namun ada lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami tidak boleh berasa selesa, kami perlu fokus untuk bentuk keserasian yang lebih mantap,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi pembuka tirai minggu lalu, Jewels menang tipis 45-43 ke atas musuh tradisi KL Wildcats, sebelum menewaskan Perak Phoenix 55-47 dan mengalahkan Pahang Tulips 54-23.

Bagi aksi kelima pada Ahad, Jewels akan membuat perhitungan dengan pendatang baharu NSL 2023, Terengganu Marvels yang sudah menang dua daripada tiga perlawanan.

“Saya menjangkakan satu aksi yang menarik. Sudah pasti Marvels akan beri tentangan sengit kepada kami. Jangan terlalu berpuas hati dengan prestasi misi untuk buru kejuaraan belum tamat,” ujar Fazira.

Dalam pada itu, juara edisi 2021, KL Wildcats menepati ramalan apabila menundukkan Pahang Tulips 63-36.

Perak Phoenix pula mengatasi cabaran Selangor Angels 63-26, manakala Putrajaya Dynamites mengalahkan Terengganu Marvels 48-35.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!