Si kecil menangis kejutkan ibu 'tidur'
MAKASSAR - Penularan klip video memaparkan seorang menangis di tepi jenazah ibunya meruntun jiwa netizen seolah-olah mengerti ibunya akan meninggalkannya buat selamanya.
Anak kecil berusia 20 bulan itu kelihatan memeluk, menangis tanpa henti dan menarik ibunya seperti mahu mengejutkan ibunya.
Suasana penuh emosi itu dimuat naik di Facebook Insan Tonji dipercayai suami kepada wanita tersebut.
Katanya, video itu dirakam ketika isterinya meninggal dunia pada 13 Disember lalu namun tidak menyangka ia tular di laman sosial sekali gus menarik perhatian netizen.
"Innalillahi wainnailaihi rojiun. Benar, begitu cepat isteri saya pergi, anak kami Aqillah amat merindukanmu.
"Insya-ALLAH, syurga buatmu sayang," tulisnya.
Insan Tonji juga memuat naik momen bersama isterinya dan kata-kata terakhir Allahyarham untuk anaknya ketika menyambut ulang tahun setahun kelahiran Aqilla pada April lalu.
Dalam catatan ini, Allahyarham menitipkan supaya anaknya menjadi insan berguna selain berani menghadapi cabaran hidup kelak.
Rata-rata netizen hiba melihat gelagat si kecil itu meratap pemergian ibunya.
Kata Teresa, "Terasa sangat lihat video ini, macam mana keadaan anak-anak kalau kita sudah tiada nanti."
Menurut Ruy, "Video ini sangat sedih, kesian bayi ini seperti tahu ibunya akan tinggalkan dia."
Dalam pada itu, sehingga kini, posting itu mencecah 119,000 tanda suka, 146,000 perkongsian dan 58,000 komen daripada netizen.
Klip video berdurasi 2 minit tersebut meraih 12 juta tontonan sejak dimuat naik minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!