Anwar ke Istanbul bincang konflik Palestin-Israel

Anwar
Anwar
A
A
A

RIYADH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Istanbul, Turkiye untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan berhubung konflik Palestin dan Israel.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada jam 6.15 petang (11.15 malam waktu Malaysia) untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadualkan ke Kaherah, Mesir pada Ahad untuk bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Semalam, Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan El-Sisi adalah bagi membincangkan mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk memudahkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin. Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami penduduk Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Anwar tiba di Riyadh pada Khamis bagi mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Beliau telah menyampaikan ucapan yang mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin pada sidang kemuncak pertama pemimpin ASEAN-GCC di Hotel Ritz-Carlton itu.

Artikel Berkaitan:

GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

ASEAN dan GCC menjalin hubungan pada 1990 susulan hasrat blok negara-negara teluk mewujudkan hubungan rasmi dengan rantau itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saudi Aramco Amin H Nasser diikuti dengan beberapa lagi pertemuan dengan kapten industri dan firma Arab Saudi.

Beliau turut menghadap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas jemputan peribadi baginda.

Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah AS$10.26 bilion direkodkan pada 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!