Lima lelaki ditahan terlibat kes samun kedai serbaneka
KUALA LUMPUR - Lima lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes samun yang menyasarkan kedai serbaneka 24 jam seperti 7-Eleven dan KK Mart di beberapa lokasi di Ampang, Cheras dan Kajang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun itu ditahan pada Khamis lepas susulan laporan oleh seorang pengadu berusia 18 tahun mengenai kejadian samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Memanda, Ampang sehari sebelumnya.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis merampas pakaian, sebilah pisau, telefon bimbit dan pelitup muka selain semakan rekod lampau mendapati empat daripada suspek memiliki pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
"Permohonan reman ke atas semua suspek telah dipohon dan dibenarkan tahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!