'Main sahaja di Stadium Sultan Ibrahim'

Padang di Stadium Nasional Bukut Jalil mengalami kerosakan di beberapa bahagian ketika aksi Malaysia menentang India pada Pestabola Merdeka 2023 minggu lalu. Gambar kecil: Azlan.
Padang di Stadium Nasional Bukut Jalil mengalami kerosakan di beberapa bahagian ketika aksi Malaysia menentang India pada Pestabola Merdeka 2023 minggu lalu. Gambar kecil: Azlan.
A
A
A

ANDAI bukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor sebagai venue terbaik untuk aksi sulung Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan bulan depan.

Penganalisis sukan, Azlan Johar berkata, ia bagi mengelak insiden kerosakan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Pestabola Merdeka 2023 baru-baru ini kembali berulang.

Malah, beliau percaya Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak keberatan untuk menerima kehadiran skuad Harimau Malaya beraksi di stadium tersebut.

“Stadium Nasional Bukit Jalil umpama 'rumah' pasukan negara dan boleh tarik puluhan ribu penyokong. Tetapi kalau padang di stadium itu rosak, siapa yang akan tanggung malu?

“Buat apa nak cari jalan susah, pening-pening fikir. Main sahaja di Stadium Sultan Ibrahim. Beraksi di sana mampu memberi nilai tambah kepada pasukan negara, padang berkualiti dan fasiliti latihan terbaik.

“Para pemain juga boleh berlatih di sana dan seterusnya beraksi pada perlawanan sebenar di venue sama. Kenapa tidak mahu guna kelebihan itu sebagai tuan rumah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Stadium Nasional Bukit Jalil akan tetap menjadi venue untuk aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 16 November ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu bersedia mengubah venue sekiranya stadium keramat Harimau Malaya tersebut tidak bersedia untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

Timbul kebimbangan padang tersebut belum lagi bersedia untuk digunakan sepenuhnya kerana masa semakin suntuk dengan perlawanan menentang Kyrgyzstan akan berlangsung kurang sebulan lagi.

Dalam pada itu, Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan berharap FAM mempertimbangkan dua kriteria sebelum memutuskan untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu menarik puluhan ribu penyokong Harimau Malaya.

Menurutnya, ia melibatkan jaminan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bahawa insiden kerosakan rumput tidak berulang dan para pemain dibenarkan berlatih di venue tersebut untuk memberi peluang kepada mereka serasi dengan padang itu.

“PSM adalah pentadbir Stadium Nasional Bukit Jalil dan sudah tentu FAM akur sahaja apa cadangan pihak pengurusan stadium bahawa padang itu boleh digunakan.

“Selain kualiti padang, FAM juga perlu lihat kebenaran untuk berlatih di sana. Setiap padang berbeza, beri peluang pemain menyesuaikan diri dan serasi dengan suasana venue itu,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis PSM komited untuk menyediakan padang stadium bola sepak bertaraf dunia untuk kegunaan skuad Harimau Malaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!