SK Temai Pekan ditenggelami air termenung
KUANTAN - Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, Pekan di sini ditenggelami air termenung susulan hujan lebat beberapa hari lalu.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, kawasan sekolah itu sering dinaiki air disebabkan faktor muka bumi yang rendah.
Menurutnya, keadaan air termenung mengambil masa agak lama untuk surut.
"Sebenarnya setiap tahun sekolah ini ditenggelami air termenung...lebih-lebih lagi kalau musim tengkujuh. Jadi hampir keseluruhan kawasan SK Temai ditenggelami air paras buku lali tetapi di tempat lebih rendah, paras air lebih dalam hingga masuk ke kelas.
“Namun begitu persediaan awal telah dibuat oleh pihak sekolah dengan memindahkan peralatan seperti meja, kerusi dan buku ke tingkat tiga bangunan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, air yang memasuki kawasan sekolah itu adalah limpahan air paya gambut yang berdekatan dengan sekolah.
Mohd Razali berkata, pihak sekolah dan PPD Pekan sentiasa memantau perkembangan keadaan itu.
"Kita harapkan air termenung ini akan surut sepenuhnya dalam masa seminggu bagi memastikan sesi persekolahan tidak terjejas.
“Secara keseluruhan setakat ini, kejadian banjir di sini tidak terlalu serius dan hanya SK Temai menghadapi masalah ini," katanya.
Katanya, selepas air surut pihak sekolah akan menjalankan aktiviti membersihkan sekolah terbabit.
"Kerja pembersihan ini akan dilakukan secara bergotong-royong membabitkan murid, guru, penduduk serta agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!