USM dinobat johan Pertandingan Debat Statistik 2023

Empat pendebat yang mewakili USM dinobatkan johan bagi Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua pada Jumaat.
Empat pendebat yang mewakili USM dinobatkan johan bagi Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan johan bagi Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di sini pada Jumaat.

Kumpulan diwakili empat pelajar itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 berserta piala dan sijil, selepas menewaskan wakil Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertemakan ‘pasaran buruh’ yang disertai 14 universiti awam seluruh negara itu berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) daerah Sabak Bernam dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Wakil kumpulan terbabit, Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24, berkata, tiada latar belakang ekonomi tidak menghalang mereka untuk terus cemerlang sejak hari pertama pertandingan itu berlangsung.

“Pihak penganjur ada memberikan buku sebagai rujukan dan tema untuk debat kali ini iaitu berkenaan pasaran buruh, jadi kami menggunakan laman sesawang DOSM untuk dapatkan maklumat yang lebih terperinci.

“Kami memang memanfaatkan setiap data kerana persaingan kali ini kita bukan hanya merancang strategi, sebaliknya perlu disertakan dengan fakta yang tepat lebih-lebih lagi semua panel merupakan pakar dalam bidang ekonomi dan statistik,” katanya ketika ditemui di PPAS daerah Sabak Bernam di sini pada Jumaat.

Selain Muhamad Hafizi, pasukan debat USM diwakili Muhammad Nor Azlan Yusof, Muhammad Irfan Shah Duraman dan Muhammad Fahim Faidhi Mohd Azman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir (berdiri, empat dari kanan) bersama pemenang-pemenang Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua antara IPT.
Mohd Uzir (berdiri, empat dari kanan) bersama pemenang-pemenang Pertandingan Peringkat Akhir Debat Statistik Siri Kedua antara IPT.

Sementara itu, UiTM berjaya merangkul naib johan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 dan kumpulan itu dianggotai Ahmad Hariz Hazmi, Muhamad Alif Izzudin Azmale, Zahratul Afza Rosli dan Muhamad Aiman Hafiz Alias.

Dalam pada itu, Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 21, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipilih sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan.

Nur Syahirah Balqis berkata, antara cabaran paling sukar adalah mengolah fakta dan memahami setiap data yang diberikan oleh DOSM.

“Semua pasukan mendapat bahan rujukan sama, namun ia bergantung kepada kreativiti individu tersebut untuk meletakkan perspektif atau cara melihat data yang diberikan bagi merangka polisi kepada kerajaan sebagai tindakan lanjut,” jelasnya.

Pemenang Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, Muhammad Alif Izzudin, 20, dari UiTM pula berkata, debat bukan sahaja mengasah intelektual semata-mata, sebaliknya ia perlu lebih santai dan berilmiah.

“Fakta dan intelektual perlu seiring bagi memastikan tiada kesalahan maklumat ketika berhujah di hadapan panel walaupun dalam keadaan santai,” ujarnya.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertandingan debat antara mahasiswa penting bagi memastikan mereka cakna dan memberi penyelesaian tuntas terhadap isu semasa negara.

MOHD UZIR
MOHD UZIR

Jelasnya, isu pasaran buruh merupakan masalah yang sering membelenggu graduan selepas tamat belajar dan perkara tersebut memerlukan penyelesaian tuntas kepada pihak pembuat polisi bagi memastikan tenaga mahir negara menyumbang kepada setiap industri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!