Empat fokus HPPNK 2023
KUALA LUMPUR - Peluang merasai sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti simulasi gabungan penuai padi menjadi tarikan sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan tersebut menjadi sebahagian daripada pengisian lebih segar yang diketengahkan pada HPPNK 2023 sebagai daya tarikan serta pendedahan kepada golongan muda.
Menurutnya, selari dengan temanya iaitu ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’, HPPNK 2023 memberi fokus kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).
“Antaranya ialah teknologi dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar, model sistem pengairan dan saliran pertanian.
“Selain itu, Sistem Akuakultur Resirkulasi (RAS), asuhan ikan marin (ikan kerapu dan siakap) serta ternakan Hygienik Moina termasuk inovasi teknologi ikan tilapia dan kawalan kesihatan ikan Break and Protect 2,” katanya selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Sambutan HPPNK di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Khamis.
HPPNK 2023 akan diadakan pada 10 hingga 12 November ini di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad berkata, HPPNK 2023 berteraskan empat fokus utama, antaranya Agro Millenia yang menawarkan empat segmen khas untuk orang muda seperti Lepaking Orang Muda, Klinik Orang Muda, Sukan dan Ruang Orang Muda.
“Fokus kedua teknologi dan inovasi, akan ada pameran kecanggihan agroteknologi dan inovasi penternakan, perikanan, internet kebendaan (IoT) serta kelestarian pertanian termasuk berkaitan dengan perubahan cuaca serta dan sisa makanan.
“Selain itu, segmen anugerah dan penghargaan turut diadakan bagi meraikan serta mengiktiraf peladang, penternak dan nelayan,” jelasnya.
Tambah Mohamad, bagi fokus ketiga, segmen Rakan Strategik menonjolkan inisiatif dan elemen dalam menyokong usaha pemerkasaan sektor pertanian dan agromakanan negara.
“Sejahtera Madani pula menawarkan enam segmen utama termasuk pelbagai program dan aktiviti seperti Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan, PeladangNita dan aktiviti kekeluargaan.
“Fokus terakhir ialah Agro Madani dalam meraikan pengunjung dengan pelbagai produk jualan pertanian menerusi Jualan Agro Madani, Empayar Makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan serta florikultur,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!