Arnab kangkang laris terjual

Nur Dania Irdina sedang menyediakan arnab kangkang sebelum dijual kepada pelanggan
Nur Dania Irdina sedang menyediakan arnab kangkang sebelum dijual kepada pelanggan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Biarpun namanya kedengaran agak unik dan pelik namun arnab kangkang yang dijual seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari Sungai Petani, Kedah ini berjaya mendapat permintaan dalam pasaran.

Nur Dania Irdina Mat Said, 20, berkata, idea untuk menamakan menu berkenaan tercetus setelah melihat kedudukan arnab yang ‘terkangkang’ ketika dibakar.

Menurutnya, pemilihan nama sedemikian juga dapat menarik perhatian orang ramai untuk merasai makanan eksotik tersebut.

Pengunjung sedang membeli arnab kangkang di sebuah gerai
Pengunjung sedang membeli arnab kangkang di sebuah gerai

"Sebenarnya tak ramai yang jual arnab bakar di pasaran. Kita tahu ada yang jual sate arnab tapi arnab bakar seekor dijual memang jarang dijumpai di mana-mana kedai makan atau pasar malam.

"Pada permulaan nak jual itu rasa agak berisiko sebab tertanya-tanya, ada ke orang nak makan? Alhamdulillah... dalam masa sebulan sahaja ia mendapat permintaan dan ramai nak rasa keenakan arnab bakar.

"Arnab kangkang ini terjual sebanyak 30 sehingga 50 ekor pada setiap hari," katanya kepada Sinar Harian di sebuah festival makanan di Dataran Jambatan Angkat di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Nur Dania Irdina berkata, daging arnab mempunyai banyak khasiat iaitu mengandungi protein yang tinggi dan tidak mempunyai lemak.

Artikel Berkaitan:

Nur Dania Irdina menunjukkan arnab kangkang yang dijual
Nur Dania Irdina menunjukkan arnab kangkang yang dijual

Lebih unik lagi, dia menyatakan arnab yang dibakar itu tidak menggunakan sebarang minyak selain daging arnab mempunyai tekstur lembut dan rasa lebih manis berbanding daging ayam.

"Selain itu, istimewanya sos lada hitam yang dicecah bersama arnab kangkang ini sangat sedap dan rasanya amat padu," katanya sambil menambah sudah menjual arnab kangkang sejak Disember 2022.

Bagaimanapun, Nur Dania Irdina juga perlu berhadapan dengan penerimaan orang ramai terutama golongan yang membela haiwan peliharaan di rumah.

Nur Dania Irdina memberi arnab kangkang kepada pelanggan
Nur Dania Irdina memberi arnab kangkang kepada pelanggan

"Ada orang yang tak boleh makan dan ada yang boleh sebab mungkin arnab ini comel seperti kucing tapi kami terima dengan hati terbuka.

"Namun makanan ini halal dimakan dan tidak perlu berasa risau dan was-was. Jika ada yang tak pernah makan arnab maka jadikan pengalaman pertama semua dengan rasai arnab kangkang ini kerana rasanya sangat menyelerakan dan sedap," jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Dania Irdina berkata, arnab bakar tersebut dijual dengan harga serendah RM19 hingga RM65 seekor.

Nur Dania Irdina sedang membakar arnab kangkang
Nur Dania Irdina sedang membakar arnab kangkang

"Orang ramai boleh singgah di kedai Maroon Cafe di Sungai Petani untuk rasai arnab bakar tetapi sekarang saya menyertai festival makanan yang diadakan di Pantai Timur maka buat masa ini arnab kangkang tidak dijual di kedai.

"Jadi pengemar makanan eksotik seperti arnab bakar di Pantai Timur boleh singgah di festival makanan di Dataran Jambatan Angkat, Terengganu sehingga 29 Oktober ini," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!