Pas kuasai hampir 100 peratus 'pengundi' di masjid, surau - Sanusi
SHAH ALAM - Pas mendakwa sudah menguasai hampir 100 peratus pengundi bagi 'pasaran' masjid dan surau seluruh negara.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, Pas perlu melangkah keluar ke medan baharu, khususnya bagi 'pasaran' pengundi muda.
Menurutnya, pengundi muda perlu ditakluki demi perjalanan politik masa depan parti itu yang kini disifatkan sebagai 'king maker' dalam pilihan raya umum (PRU).
"Ada banyak lagi langkah-langkah politik yang perlu diambil. Salah satu ialah politik tidak membosankan dengan menawan pengundi muda yang tidak menyertai mana-mana parti tapi memiliki kuasa undi terbesar
"Ini market (pasaran) yang perlu dikuasai Pas perjalanan politik masa depan kerana hampir 100 peratus pasaran di masjid surau dibolot oleh Pas.
"Pas perlu melangkah ke pagar sebelah, kiri dan kanan untuk menjadi medan baru dan mempelbagaikan langkah-langkah politik serta tidak terkurung dalam politik tradisi Pas," katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas menambah, parti itu kini menjadi pemain utama dalam hala tuju politik negara.
"Tiada parti lain yang boleh dihara oleh rakyat selain Pas untuk membuat percaturan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!