[VIDEO] Hospital USIM akan dibina, siap dalam lima tahun

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kompleks Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan dibina di Sedili, Kota Tinggi dengan kos RM938 juta pada tahun depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan HPU tersebut seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2024 akan dilakukan menerusi dua fasa dalam tempoh lima tahun.

"Pada masa ini kita sedang mencari tapak dan akan melihat sama ada sesuai atau tidak pembinaannya dengan keadaan tanah. Selepas itu kerja-kerja melibatkan reka bentuk dilakukan dan apabila selesai akan lantik kontraktor menerusi proses tender.

"Pembinaannya mengambil masa lima tahun. Dengan pembinaan HPU ini, maka lengkapkan ekosistem pengajian perubatan di negara kita kerana kesemua fakulti perubatan universiti awam akan mempunyai HPU sendiri.

"Lebih penting, pembinaan hospital pengajar ini akan memberi ruang untuk pelajar fakulti perubatan khususnya dari USIM untuk mendapat latihan yang lebih baik, sistematik dan mempunyai lebih banyak peluang melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar," katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika ditemui pengamal media selepas Majlis Libat Urus Kementerian Pendidikan Tinggi Bersama Media Zon Selatan. - Foto Bernama.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika ditemui pengamal media selepas Majlis Libat Urus Kementerian Pendidikan Tinggi Bersama Media Zon Selatan. - Foto Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Libat Urus KPT Bersama Media Zon Selatan 2023 di Hotel Renaissance Johor Bahru pada malam Sabtu.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pembinaan HPU USIM tersebut juga bertujuan untuk melakukan penyelidikan di kawasan berdekatan Sedili selain memberikan rawatan kepada penduduk setempat dan berdekatan.

"Di sini nanti kita nak tau apa penyakit dihadapi nelayan, orang Felda dan orang kampung, jadi penyelidikan boleh dibuat dan ini akan tambah pengetahuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!