Tiktoker Pas 'bertempur' di media sosial tanpa bayaran
SHAH ALAM - Pas menyelar tuduhan seorang menteri yang menganggap peruntukan kawasan yang diminta wakil rakyat pembangkang akan digunakan untuk membayar pempengaruh media sosial atau Tiktoker yang menyebarkan agenda Pas.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perjuangan para pemuda yang 'bertempur' di media sosial adalah atas dasar sukarela tanpa mengharapkan bayaran kerana ikhlas menegakkan Islam.
Justeru beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak memberi tanggapan salah terhadap perjuangan mereka.
"Mereka berjuang tanpa bayaran, tanpa ganjaran tapi mereka dihina seorang pemimpin sebelah sana bertaraf menteri kononnya kita bayaran Tiktoker, kononnya peruntukan kita minta untuk bayar Tiktoker.
“Kita nak beritahu, Tiktoker kita bekerja tanpa bayaran dan atas sebab itulah yang menentukan kemenangan kita pada hari ini,” katanya semasa ucapan pengulungan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini pada Ahad.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata. Pas berjuang tanpa mengharapkan balasan.
“Kalau kamu rasa kamu berjuang menggunakan duit itu hak kamu itu bukan hal kita.
"Perjuangan kita ikhlas untuk menegakkan kalimah ALLAH SWT, itu yang mulia, itu yang suci, itu yang harus faham,”katanya.
Sebelum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor berkata, kerajaan tidak mahu peruntukan yang diberi tidak sampai kepada rakyat, akhirnya digunakan oleh sekelompok ahli Parlimen untuk membayar Tiktokers bagi tujuan politik.
Justeru, katanya peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan dalam bentuk projek serta bantuan terus kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!