[VIDEO] Bapa, teman wanita mengaku abai, cedera anak lelaki
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya yang berusia tujuh tahun sehingga kekurangan zat makanan dan nutrisi.
Pasangan tersebut, R Thalayan, 37, dan K Mageswari, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Bagi pertuduhan tersebut, lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu van kilang manakala wanita itu tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya di sini antara Julai hingga 12 Oktober lalu.
Dalam pertuduhan berasingan, Mageswari didakwa mencederakan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal pada bahagian tangan kanan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.
Mageswari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan RM15,000, melaporkan diri ke balai polis pada setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan diberi amaran supaya tidak mengganggu saksi.
Thayalan dalam rayuannya memohon mengurangkan jaminan kerana hanya berpendapatan RM1,600 dan menanggung anak serta ibunya yang sedang sakit kencing manis dan darah tinggi selain perlu membayar sewa rumah serta ansuran kereta termasuk membayar kos perubatan ibunya.
Mageswari turut memohon jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan perlu menanggung anak berusia tiga tahun selain menumpang di rumah kawan.
Fatimah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, dilarang mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh 21 November ditetapkan bagi sebutan semula dan lantikan peguam untuk pertuduhan kedua.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, penderitaan kanak-kanak lelaki itu yang didera sejak enam bulan lalu berakhir selepas disedari pengadu yang juga jirannya sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.
Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu bersama anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun.
Caren berkata, pihaknya dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai kemudian meminta bantuan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas suspek tidak memberikan kerjasama apabila mereka mahu melihat keadaan mangsa pada malam Khamis, sebelum kedua-duanya diberkas pada petang Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!