Exco Selangor, ADUN pembangkang 'duduk semeja'

Rizam (empat dari kiri) bersama-sama Harrison (dua dari kiri) dan Azley (dua dari kanan) bersama-sama semeja pada Program Rumpun Selangor D'Desa di Dewan Bukit Kuching Tengah pada malam Sabtu.
Rizam (empat dari kiri) bersama-sama Harrison (dua dari kiri) dan Azley (dua dari kanan) bersama-sama semeja pada Program Rumpun Selangor D'Desa di Dewan Bukit Kuching Tengah pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada program Rumpun Selangor D'Desa menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri mengetepikan perbezaan politik kepartian sebaliknya fokus kepada agenda membangunkan negeri.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, program anjuran kerajaan negeri itu mengundang semua pihak sama ada rakyat mahupun pemimpin daripada pembangkang.

Menurut beliau, pada masa ini, kerajaan negeri memberi tumpuan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan setiap rakyat.

"Kita dapat lihat di bawah kepimpinan MB (Menteri Besar Selangor) amat mengutamakan perpaduan di negeri ini tanpa mengira latar belakang, tetapi yang penting kita semua adalah rakyat Selangor yang boleh bersatu-padu dan memakmurkan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Rumpun Selangor D'Desa di Dewan Bukit Kuching Tengah di sini pada malam Sabtu.

Program itu menyaksikan ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan dan ADUN Bukit Melawati, Azley Yahya yang kedua-duanya dari pembangkang duduk semeja bersama Rizam, kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang dan pegawai daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ditanya adakah kerajaan negeri membawa politik baharu dan matang menerusi program yang turut disertai pembangkang, Rizam menjelaskan, program seperti itu telah diadakan sejak dari dulu lagi.

"Musim pilihan raya pun sudah habis, walau berbeza fahaman politik, kita ini wakil rakyat yang dipilih dengan misi sama, iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, beliau juga menjunjung titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kegusaran baginda berhubung situasi suhu politik dan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Di sinilah tercetusnya ilham saya untuk membawa satu dasar baharu terkait dengan perpaduan nasional di peringkat negeri," kata beliau.

Mengulas mengenai program itu, Rizam berkata, program ini bukanlah baharu, sebaliknya ia adalah kesinambungan kepada program 'Kita Rewang Sekampung'.

Jelas beliau, setelah dilantik sebagai Exco bertanggungjawab, beliau memutuskan untuk menjenamakan program itu semula melalui Rumpun Selangor D'Desa.

"Sebanyak lima lagi program akan dilaksanakan pada tahun ini di daerah Petaling, Gombak, Klang, Sepang dan Hulu Langat," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!