MTL: Sabah mungkin berdepan fenomena luar biasa
KOTA KINABALU - Sabah dijangka berhadapan dengan keadaan yang berbeza pada Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada November depan apabila akan menerima kadar taburan hujan kurang daripada 20 peratus.
Ia sekali gus dikhuatiri akan menyebabkan risiko gangguan bekalan air mentah di kawasan empangan dan sungai di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah membentangkan laporan rasmi ramalan cuaca dalam tempoh MTL 2023 dan 2024 bermula pada November hingga Mac depan.
"Sebagai mana kebiasaan dalam tempoh MPL ini keadaan cuaca yang lebih lembab dan taburan hujan yang bertambah sehingga menyebabkan risiko hujan itu berlaku di seluruh negara.
"Namun perbezaan musim MPL tahun ini, hanya Sabah yang akan berhadapan dengan satu fenomena yang agak luar biasa.
"Walaupun hujan dan ribut petir itu berlaku dan ada risiko banjir tetapi Sabah akan menghadapi cuaca yang jumlah taburan hujannya berkurangan 20 peratus daripada purata," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Jualan Rahmah di Dewan Kampung Warisan, Inanam, di sini pada Ahad.
Tambah Armizan lagi, menjadi kebimbangan pihaknya bahawa fenomena itu akan menyebabkan risiko berlaku gangguan bekalan air yang sememangnya berlaku di negeri ini dan akan menjadi lebih serius.
"Kerana 20 peratus merupakan satu kadar yang besar, kita menjangkakan bahawa sumber bekalan air dari sungai, empangan akan mengalami gangguan yang seterusnya akan menyebabkan kekurangan sumber bekalan air mentah ke loji rawatan air.
"Jadi ini kekhuatiran kita bermula MPL ini khususnya Januari hingga Mac taburan hujan itu bertambah jauh berkurangan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, perkara berkenaan telahpun dimaklumkan kepada kerajaan negeri untuk dibincangkan bersama agensi berkaitan bagi mengambil langkah yang bersesuaian.
"Kita juga telah meminta kerajaan Sabah untuk mendapatkan laporan terperinci daripada MetMalaysia mengenai lokasi yang dilihat secara jelas diramalkan menghadapi kurangnya taburan hujan tersebut.
"Ini supaya kita dapat pertimbangkan lebih awal apa langkah mitigasi untuk menanggani isu gangguan bekalan air tersebut," katanya.
caption
1. Armizan ketika ditemui pemberita ketika lawatan ke Program Jualan Rahmah di Dewan Kampung Warisan, Inanam, Kota Kinabalu.
tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!