#QuranHour For Gaza: Suasana sedih, hiba ketika bacaan doa

Bacaan doa oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Shamsul Hakim Abd Samad di ketika program #QuranHour for Gaza Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
Bacaan doa oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Shamsul Hakim Abd Samad di ketika program #QuranHour for Gaza Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana sedih dan hiba menyelubungi peserta yang hadir ketika doa penutup #QuranHour For Gaza dibacakan oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Shamsul Hakim Abd Samad di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Intipati doa yang berkisarkan perjuangan dan kesusahan rakyat Palestin itu meruntun jiwa menyebabkan sebahagian peserta tidak dapat menahan sebak hingga mengalirkan air mata.

Mohd Shamsul ketika ditemui menjelaskan, doa yang dibacanya sebagai tanda keinsafan dan merendah diri kepada ALLAH SWT kerana setiap apa yang berlaku di Gaza atau tempat lain adalah dengan kehendakNya.

Peserta khusyuk ketika bacaan doa sedang berlangsung.
Peserta khusyuk ketika bacaan doa sedang berlangsung.

“Mungkin apa yang berlaku ini sebagai pengajaran atas kesalahan dan dosa kita kepada ALLAH SWT, manusia atau saudara di Gaza, jadi kita perlu meletakkan sepenuh pengharapan kepada yang Maha Esa dalam perjuangan ini,” katanya ketika ditemui selepas program #QuranHour for Gaza di sini.

Menurut Mohd Shamsul, doa itu turut memfokuskan umat Islam supaya diberi kekuatan untuk terus melakukan ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan mengamalkan sunnah Nabi untuk mendapatkan kemenangan dalam setiap perjuangan.

Beliau mengharapkan, rakyat Palestin sentiasa diberi kekuatan dalam meneruskan perjuangan mempertahankan bumi Al-Aqsa yang pernah menjadi tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj dan juga kiblat umat Islam.

“Mudah-mudahan sebelum hayat kita berakhir, kita sempat melihat Masjid Al-Aqsa dibebaskan dan seluruh umat Islam bebas kembali mewarisi bumi yang penuh keberkatan itu.

Artikel Berkaitan:

Peserta yang sebak dan hiba ketika bacaan doa berlangsung
Peserta yang sebak dan hiba ketika bacaan doa berlangsung



“Sepenuh pengharapan dipanjatkan dalam doa ini agar umat Islam berada di puncak kejayaan, kuat dan bersatu padu sehingga mampu menyusun kembali kekuatan ummah suatu ketika nanti kerana ia kunci kemenangan yang sebenar-benarnya,” ujarnya.

Tambah beliau, program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia bakal mencetus kesedaran ummah terutamanya terhadap tanggungjawab umat Islam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, demonstrasi dan laungan semangat sahaja tidak memadai kerana susun atur strategi perlu bermula dengan diri sendiri sehingga mampu kembali ke puncak kejayaan seperti dijanjikan ALLAH SWT yang mana kemenangan itu milik umat Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!