Penagih dadah ragut beg tangan warga emas diberkas

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal.
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal.
A
A
A

AMPANG - Seorang penganggur ditahan kerana disyaki meragut beg tangan seorang wanita warga emas berhampiran sebuah pusat beli belah di Taman Muda di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 67 tahun yang mendakwa diragut ketika sedang berjalan sendirian.

"Kejadian pada jam 3.40 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai didatangi suspek yang menaiki motosikal lalu meragut beg tangan berwarna biru," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, suspek kemudian melarikan diri, mangsa kehilangan dua telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM200.

"Kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Pandan Indah, di sini, pada jam 6.30 petang, Jumaat," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau dan dalam senarai dikehendaki polis berhubung kesalahan dadah.

"Modus operandi suspek adalah melakukan samun dan ragut beg mangsa dengan menggunakan motosikal secara berseorangan dan hasil dari kegiatan itu digunakan untuk perbelanjaan harian dan membeli dadah," katanya.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman tujuh hari bermula semalam (Sabtu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!