Pembangkang anggap kerajaan Selangor matang, ketepi politik
KUALA SELANGOR - Penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam program kerajaan negeri Selangor disifatkan sebagai langkah matang dan ke hadapan melangkaui ideologi politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan itu sewajarnya diberi pujian bagi mengiktiraf peranan ADUN pembangkang yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu.
"Ini satu tauladan baik yang mana seperti saya selalu sebut bahawa kita semua wakil rakyat ini matlamatnya sama untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas Program Rumpun Selangor D'Desa di Dewan Bukit Kuching Tengah di sini pada malam Ahad.
Program Rumpun Selangor itu menyaksikan Harrison dan ADUN Bukit Melawati, Azley Yahya yang kedua-duanya dari pembangkang duduk semeja bersama Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail, kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang dan pegawai daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Sehubungan itu, Harrison menjelaskan, program membabitkan ADUN pembangkang mestilah bersifat menyeluruh dan diperluaskan di semua peringkat melibatkan Exco dan kerajaan negeri.
Sementara itu, Azley berkata, pihaknya amat mengalu-alukan program anjuran kerajaan negeri yang turut membabitkan ADUN pembangkang.
Jelas beliau, program Rumpun Selangor D'Desa misalnya dilihat bersesuaian diadakan bagi menerapkan seni dan budaya di negeri ini.
Katanya, beliau berharap program melibatkan kerjasama ADUN pembangkang diteruskan dari masa ke masa.
"Sepatutnya dulu dah buat (program melibatkan pembangkang), tetapi ini satu permulaan yang baik," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kehadiran ADUN pembangkang pada program Rumpun Selangor D'Desa menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri mengetepikan perbezaan politik kepartian sebaliknya fokus kepada agenda membangunkan negeri.
Rizam berkata, program anjuran kerajaan negeri itu mengundang semua pihak sama ada rakyat mahupun pemimpin daripada pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!