Anak penoreh getah terima Anugerah Pelajaran Diraja
KUALA NERUS – Latar belakang bapa yang bekerja sebagai penoreh getah menjadi pemangkin semangat buat graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk meraih Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, di sini pada Ahad.
Selain menerima anugerah itu, Mohamad Mukramin Samrah, 24, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang turut merekodkan pencapaian cemerlang dengan meraih Sijil Kepujian Dekan selama lapan semester berturut-turut.
Anak ketujuh dari lapan beradik itu berkata, dia bersyukur dan lega kerana berjaya menggembirakan bapanya, Samrah Abu Bakar, 74, dan ibunya, Laila Abdul Rahman, 60, yang bekerja sebagai suri rumah.
"Saya masih ingat lagi pada tahun pertama belajar di UMT, ayah masih melakukan kerja-kerja menorah getah semata-mata untuk membayar yuran pengajian sebelum saya berjaya mendapatkan pinjaman.
"Kakak pula sering menasihatkan saya untuk fokus belajar bermula tahun pertama supaya impian untuk bergelar graduan terbaik akan tercapai,”katanya ketika ditemui selepas sidang pertama istiadat Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini pada Ahad.
Menurut Mohamad Mukramin, walaupun bekerja sebagai penoreh getah sepenuh masa, bapanya tidak pernah jemu memberi dorongan sekali gus menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
Pelajar program Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi itu mengakui, semangat untuk mengubah nasib keluarga turut menjadi pemangkin terhadap kejayaan yang dikecapinya itu.
"Semangat untuk berjaya ini turut didorong dengan keinginan tinggi untuk mengubah kehidupan,"katanya yang menyimpan hasrat untuk menjadi seorang kaunselor.
Selain kecemerlangan akademik, Mohamad Mukramin turut bergiat aktif di luar kuliah dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum terutama dalam badan beruniform Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswa (Kor SUKSIS).
Turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Ow Suk Theng dari Taiping, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!