KKM akan bangunkan pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak, remaja

Dr Zaliha (dua dari kanan) menyampaikan Sijil Diploma Lanjutan Kebidanan kepada Ayu Mastura Armisan pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah pada Ahad. - Foto Bernama
Dr Zaliha (dua dari kanan) menyampaikan Sijil Diploma Lanjutan Kebidanan kepada Ayu Mastura Armisan pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan membangunkan satu pelan tindakan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja, bagi mengatasi peningkatan kes kesihatan mental melibatkan golongan itu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, merupakan satu perkembangan yang membimbangkan kerana mereka merupakan pemimpin masa depan negara.

"Pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja akan dibangunkan, supaya masalah ini tidak menjadi semakin teruk sehingga ke peringkat membunuh diri,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan, di sini pada Ahad.

Pada 14 Oktober, Dr Zaliha memaklumkan berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), seramai 424,000 orang kanak-kanak di negara ini mengalami isu kesihatan mental, sepanjang tahun lepas dan trend ini dilihat semakin meningkat pasca-Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, literasi rakyat Malaysia mengenai kesedaran untuk menjaga kesihatan mental masih rendah dan KKM akan melaksanakan pelbagai pendekatan, supaya rakyat lebih tahu mengenai kepentingan kesihatan mental terutama ketika pandemik.

Dr Zaliha berkata, orang ramai kini boleh mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan kesihatan mental melalui platform digital, antaranya modul MyMinda di aplikasi MySejahtera.

"Melalui MyMinda, pengguna boleh memeriksa status kesihatan mental masing-masing dengan menjawab soalan saringan minda sihat untuk kenal pasti diri, mendapatkan bahan psikopendidikan serta akses terhadap perkhidmatan bantuan sokongan psikososial,” katanya.

Pada majlis itu, beliau melancarkan Modul Latihan Pencegahan Bunuh Diri untuk Responder Pertama yang bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan melatih petugas barisan hadapan, dalam pengendalian kes tingkah laku bunuh diri.

Artikel Berkaitan:

Turut dilancarkan, Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang dibangunkan untuk melatih anggota kesihatan lain seperti Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.

Dr Zaliha berkata, modul berkenaan dibangunkan susulan kekangan anggota profesional kesihatan mental, terutamanya ketika bencana pandemik Covud-19 dan kini sekurang-kurangnya satu pasukan MHPSS diwujudkan di setiap daerah dan hospital.

Pada majlis itu, beliau juga melancarkan ‘Kempen Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, selain sebagai antara inistiatif untuk menangani stigma dan diskriminasi, terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental melalui pelbagai platform.

Dr Zaliha berkata, semua pihak, perlu memainkan peranan untuk menjaga, memelihara dan menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, serta stigma dan persepsi negatif terhadap individu yang mempunyai masalah mental, perlu dihapuskan.

Beliau berkata, disebabkan stigma yang menganggap individu dengan penyakit mental ini tidak boleh diubati, ia mengakibatkan jurang yang meluas bagi pesakit mental untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!