Budaya membaca rakyat Malaysia rendah

Para peserta yang menyertai Karnival Kelantan Membaca Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023. (Gambar kecil: Dr Anwar Ridhwan)
Para peserta yang menyertai Karnival Kelantan Membaca Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023. (Gambar kecil: Dr Anwar Ridhwan)
A
A
A

BACHOK - Budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, kajian yang dibuat pada tahun 2022 menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia hanya memperuntukkan tiga jam seminggu untuk aktiviti membaca.

“Kalau kita lihat dari tahun 2014, purata rakyat Malaysia membaca 15 judul buku setahun, kemudian pada 2022 didapati bahawa pada umumnya rakyat Malaysia membaca teks tiga jam seminggu.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya kajian ini tidak termasuk teks digital yang dibaca di telefon bimbit kerana ada banyak lagi sumber bacaan boleh diperolehi,” katanya pada sidang akhbar selepas Karnival Kelantan Membaca Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Profesor Madya Dr Ahmad Azaini Abdul Manaf yang merasmikan karnival itu.

Anwar yang juga Sasterawan Negara berkata, begitupun, semua pihak termasuk DBP sendiri, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sudah serta sedang merancang pelbagai inisiatif sebagai usaha untuk meningkatkan budaya pembacaan dalam kalangan warga negara ini.

Menurut beliau, golongan berusia 15 tahun ke atas menjadi sasaran bagi langkah meningkatkan tabiat membaca.

“Sebabnya sasaran yang ada ini berjumlah sekitar 18 juta, jadi kalau kita dapat galakkan mereka, saya percaya bahawa tabiat membaca dapat pertingkatkan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, ujarnya minat membaca harus bermula dari rumah melalui peranan ibu bapa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!