Masih trauma diuji kanser 25 tahun lalu
KOTA BHARU - Trauma yang dialami selepas diuji dengan penyakit kanser payudara lebih 25 tahun lalu belum berakhir, malah warga emas ini sentiasa berdoa dapat meneruskan hidup sihat bersama keluarga dan rakan-rakan.
Berkongsi penderitaan selepas didiagnos penyakit berkenaan, Rohani Daud, 67, berkata, ketika itu dia berusia 42 tahun dan sedang mengandungkan anak bongsunya.
Menurutnya, lebih memberi kesan dalam hidupnya apabila terpaksa melakukan pembedahan ketika usia kandungan 38 minggu.
"Ketika itu banyak perkara yang saya fikirkan termasuk anak-anak yang masih kecil, keadaan anak dalam kandungan dan kehidupan mereka tanpa saya.
"Selepas pembedahan membuang ketulan di payudara, saya hanya menyusukan bayi selama dua minggu. Setiap kali memandang wajahnya, saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.
Rohani memberitahu sangat bertuah kerana suaminya, Allahyarham Ramli Mohamad memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk dia terus bersemangat melawan kanser.
"Dia sentiasa bersama saya dan tidak putus-putus memberi harapan untuk saya kembali ceria," katanya sambil memberitahu suaminya 'pergi' dua tahun lalu akibat penyakit batu dalam hempedu.
Mengulas lanjut mengenai penyakitnya itu, warga emas itu berkata, beliau mendapat tahu penyakit itu selepas mengesan satu ketulan kecil di payudara sebelum membuat pemeriksaan di hospital.
Ibu kepada tujuh anak itu memberitahu, sepanjang diserang kanser, beliau menjalani enam kali rawatan kemoterapi dan 20 kali kaedah radioterapi.
"Saya setia menjalani rawatan dan perlu kuat demi anak-anak dan keluarga," katanya.
Bagi memastikan keadaan dirinya sentiasa selesa, pesara jururawat itu tidak menjamah ayam dan daging selama lima tahun selain menjaga makan dan sentiasa positif.
"Kini, anak-anak sudah besar dan saya juga disahkan bebas kanser tetapi perlu membuat pemeriksaan berkala yang ditetapkan pihak hospital," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!