Chaoming mula langkah kanan di Para Asia Hangzhou 2022
PEMAIN ping pong lelaki negara, Chee Chaoming memulakan perlawanan pertama Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dengan langkah kanan selepas menewaskan pencabar dari Filipina, Sultan Linadr di Stadium Taman Sukan Terusan Gongshu pada Ahad.
Pemain berusia 26 tahun itu mengetepikan Sultan 11-5,11-7,9-11,11-8 bagi acara perseorangan lelaki MS9 (kecacatan fizikal) peringkat Kumpulan D akan berdepan pemain tuan rumah Fan Yufei pada Isnin.
Satu lagi wakil negara Brady Chin yang berentap dalam acara sama Kumpulan B menerima nasib berbeza apabila tewas kepada pemain China, Zhao Yi Qing 8-11, 9-11, 11-7, 3-11.
Pada Isnin, dia akan bertemu pencabar dari Jepun, Abe Hayuma dalam perlawanan kedua Kumpulan B.
Satu lagi wakil negara yang berentap dalam perseorangan lelaki acara MS11 (kecacatan fizikal), Jennahtul Fahmi Ahmad Jennah turut akur kepada kehebatan lawan, Chen Po Yen 4-11, 5-11, 9-11 dari Taiwan dalam aksi Kumpulan A.
Dia seterusnya akan membuat perhitungan dengan pemain Hong Kong, Tsoi Ming Fai pada Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!