Aiman sah perkuat TSG musim 2024

Muhammad Nur Aiman - FOTO MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
Muhammad Nur Aiman - FOTO MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
A
A
A

PELUMBA berbasikal kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rosli sah bakal menyertai pasukan terkemuka benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada musim 2024.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, Aiman yang tampil cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bulan lalu, 'diikat' selama setahun mulai 1 Januari 2024.

“Aiman telah membuat permohonan pada Julai 2023 sebelum dia secara rasmi menghantar resume.

"Perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa pelantikan dan kontrak kakitangan dan pelumba TSG yang bersidang pada 20 Ogos 2023.

“Maka hasil daripada keputusan mesyuarat berkenaan, pihak jawatankuasa pemilihan pelumba, bersetuju mengambilnya dan menawarkan kontrak.

“Dia menandatangani kontrak bersama TSG untuk satu tahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2024.

"Kita melihat dari sudut bakat yang ada pada dirinya,” kata Nasiruddin dalam satu hantaran video kepada media pada Ahad.

Pada masa sama, Nasiruddin berkata, TSG yang baru diumumkan selaku pasukan nombor satu Asia bagi tahun ketiga berturut-turut akan membantu bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu untuk terus mempertingkatkan prestasinya.

Artikel Berkaitan:

“Kita rasa sayang kalau biarkan dirinya tanpa ada pasukan yang membimbing.

"Pihak pengurusan TSG bersetuju memberi peluang kepadanya dan harap (Aiman) beri komitmen 100 peratus untuk mewakili TSG bagi tahun 2024 dan mewakili negara di mana-mana temasya akan datang,” ujarnya.

Pada perlumbaan LTdL 2023 yang berlangsung dari 23 hingga 30 September lalu, Aiman yang kali pertama mewakili pasukan kebangsaan Malaysia berjaya menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pada Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah.

Pada Peringkat 6 dari Karak ke Melaka, pelumba kelahiran Johor itu yang juga juara kebangsaan acara ujian masa individu (ITT) empat tahun berturut-turut, menduduki tempat ke-16, sekali gus dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!