Ujian poligraf Yusoff Rawther bantu siasatan polis: KPN

Muhammed Yusoff Rawther
Muhammed Yusoff Rawther
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan ujian poligraf yang dibuat terhadap bekas pegawai penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther pada 17 Disember lalu adalah untuk membantu siasatan polis.

Abdul Hamid berkata, walaupun ujian poligraf berkenaan tidak dapat diterima dalam proses mahkamah sebagai bukti kukuh, sebaliknya ia digunakan pasukan penyiasat untuk membantu meyakinkan siasatan sama ada individu tersebut bercakap benar atau tidak.

"Jika kita dapati dia bercakap benar mengikut ujian itu, kita akan menggandakan usaha dalam mencari bukti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis serah tugas jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sini tadi.

Sebelum ini Muhammed Yusoff Rawther menjalani ujian poligraf selama empat jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh seorang ahli politik.

Muhammed Yusoff hadir bersama peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mohamed Haniff memaklumkan ujian poligraf ke atas anak guamnya itu adalah salah satu perkara yang Muhammed Yusoff ingin lakukan supaya ketelusan dan kejujuran serta keikhlasan aduan mahupun siasatan dapat diselesaikan.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff selesai memberi keterangan yang mengambil masa selama lapan jam kepada Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Muhammed Yusoff kemudian datang semula ke Bukit Aman untuk disambung keterangan pada keesokan harinya dan meninggalkan Bukit Aman selepas selesai dirakam keterangan selama tiga jam.

Muhammed Yusoff dirakam keterangan oleh polis berhubung Akuan Bersumpah (SD) serta laporan polis di IPD Sentul dibuat pada 7 Disember lalu atas dakwaan menjadi mangsa cabul seorang ahli politik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!