SG4 peluang untuk Pas pamer kemampuan

Empat buah negeri yang dipimpin oleh Pas telah tampil dengan idea penubuhan State Government 4 (SG4). - Foto Bernama
Empat buah negeri yang dipimpin oleh Pas telah tampil dengan idea penubuhan State Government 4 (SG4). - Foto Bernama
A
A
A

EMPAT buah negeri yang dipimpin oleh Pas telah tampil dengan idea penubuhan State Government 4 (SG4).

Idea penubuhan itu bertujuan untuk memajukan empat buah negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu.

Antara langkah awal yang diambil ialah dengan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat SG4.

Pelantikan itu juga bertujuan untuk membolehkan bekas perdana menteri itu membantu menarik pelaburan terutama dari Jepun, China, Korea Selatan dan Timur Tengah.

Difahamkan terdapat beberapa perkembangan positif apabila beberapa pelabur dari negara tersebut sudah mula menunjukkan minat.

Langkah seterusnya ialah merangka satu pelan ekonomi lima kluster itu melibatkan infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; dan sumber dan pendapatan baharu.

Pada dasarnya, langkah ini memang dipuji kerana ia memperlihatkan keupayaan Pas untuk mentadbir empat negeri di bawahnya secara profesional dan berkesan.

Ini juga bagus sebagai persediaan untuk ambil alih pemerintahan negara jika dapat mandat rakyat dalam pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Imej Pas sebagai parti lebai dan kampung akan terhakis dengan kebijaksanaan yang diilhamkan itu.

Bagaimanapun, Pas perlulah membuktikan kejayaan SG4 terlebih dahulu.

Pas tidak boleh sekadar mengharapkan Gelombang Hijau untuk terus kekal dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Parti itu perlu meyakinkan pengundi atas pagar dan juga bukan Islam jika mahu mentadbir Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

Satu lagi halangan besar untuk Pas ialah pelaksanaan SG4 akan menjejaskan hubungan dengan kerajaan Pusat.

Ini kerana kerajaan negeri masih memerlukan sokongan daripada Pusat untuk melakukan sebarang program atau projek pembangunan.

Sehubungan itu, akhbar ini melihat, sebarang usaha baik yang ingin dilakukan dan memberi manfaat besar pada kerajaan patut diberikan sokongan.

Mungkin perkara ini perlu dilihat melangkaui perbezaan politik demi untuk rakyat.