Tekad SRAM menuju LA28

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt (belakang, tengah) bersama skuad wanita skuasy negara (depan, dua dari kiri) Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold dan S Sivasangari yang meraih emas dalam acara berpasukan wanita pada 30 September lalu.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt (belakang, tengah) bersama skuad wanita skuasy negara (depan, dua dari kiri) Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold dan S Sivasangari yang meraih emas dalam acara berpasukan wanita pada 30 September lalu.
A
A
A

PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tekad bekerja keras untuk menyediakan pasukan terbaik bagi mengharungi temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) setelah sukan tersebut disenaraikan pada pentas terbesar dunia itu.

Naib Presidennya, Sharon Wee memberitahu, persiapan ke temasya tersebut perlu dibuat secara serius menerusi perancangan rapi dan teliti untuk memastikan skuad skuasy berupaya menyumbang pingat buat negara.

Beliau berkata, SRAM akan membentuk program lengkap dan menyeluruh untuk tempoh lima tahun agar para pemain bersedia sepenuhnya menjelang temasya tersebut.

“Persiapan ke Olimpik tak boleh main-main, kita akan pastikan para pemain bekerja keras sumbang pingat buat negara dan kalau boleh emas.

“Barisan kejurulatihan akan susun pelan tahunan selama lima tahun buat para pemain.

"Ia akan melibatkan latihan secara keseluruhan, perlawanan di dalam dan luar negara termasuk kejohanan profesional di pentas antarabangsa.

“Adalah penting buat kita ambil langkah demi langkah dalam tempoh lima tahun program menuju ke LA28,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sharon - Foto Agensi
Sharon - Foto Agensi

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) awal minggu ini mengumumkan penambahan lima sukan iaitu skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol pada LA28.

Pada Sukan Asia Hangzhou, tiga daripada enam pingat emas Malaysia disumbangkan kem skuasy menerusi Ng Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki, S Sivasangari (perseorangan wanita) dan berpasukan wanita.

Sharon turut meluahkan rasa amat gembira dengan penyenaraian sukan tersebut biarpun peluangnya untuk beraksi pada temasya itu sudah berakhir, namun ia berita baik buat generasi pemain ketika ini.

Menurutnya, ia juga satu penghormatan buat seluruh komuniti skuasy di Malaysia dan dunia kerana sukan berkenaan mendapat pengiktirafan besar daripada IOC.

“Sangat gembira sebab saya memang nak wakil Malaysia pada Olimpik, walaupun kempunan sebagai pemain skuasy negara, saya tetap seronok generasi baharu ini berpeluang beraksi di LA28,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!