'Kontroversi' angkat populariti Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

KEPUTUSAN Pemilihan Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi penggal 2023-2025 yang menyaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendominasi undi tertinggi bukanlah sesuatu mengejutkan.

Menerusi keputusan yang diumumkan pada Ahad itu, Muhammad Sanusi memperoleh 1,098 undi.

Selain Muhammad Sanusi, 17 lagi turut dipilih ke jawatan AJK Pas Pusat termasuk bekas Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud serta Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ahmad Fadhli memperoleh sebanyak 1,042 undi dan diikuti rapat oleh Muhammad Khalil yang mendapat 1,033 undi.

Selain itu, Muktamar Pas kali ke-69 yang berakhir pada Ahad juga menyaksikan lima jawatan tertinggi parti berkenaan tidak dipertandingkan sekali gus penyandang sedia ada kekal dengan jawatan masing-masing.

Umum juga mengetahui, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu mempunyai aura tersendiri dan diterima baik oleh ahli akar umbi dan juga pemimpin parti tersebut.

Dilihat sebagai individu yang lantang dalam mempertahankan parti, beliau juga tidak lekang terpalit dengan pelbagai kontroversi terutamanya ketika enam negeri termasuk Kedah dalam fasa mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Bermula dengan 'aksi' bertikam lidah dengan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggalah insiden mengheretnya ke mahkamah, ternyata anak jati negeri jelapang padi itu tidak pernah gentar.

Artikel Berkaitan:

Meskipun dilihat sebagai individu yang banyak terpalit dengan kontroversi, namun ternyata sokongan yang diterima oleh Muhammad Sanusi juga kian meningkat.

Benarlah kata sesetengah pihak, kontroversi mampu menjatuhkan seseorang individu dan ada ketikanya mampu mengangkatnya lebih tinggi.

Ia terbukti apabila populariti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu melebar dengan sokongan tidak berbelah bahagi penyokongnya.

Bersandarkan kemenangan dengan jumlah undi tertinggi itu, pemimpin dan ahli parti pastinya akan terus kekal berdiri teguh di belakang Muhammad Sanusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!