Seorang lagi suspek berhubung kes MYAirline ditahan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang lagi suspek berhubung kes MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) pada awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan dibuat di kediaman suspek di Bangsar dekat sini.
Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang dipercayai melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.
"Suspek akan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur untuk tahanan reman pada jam 10 pagi ini.
"Setakat ini, JSJK PDRM telah merampas 12 buah kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd.
"Selain itu, antara barangan yang dirampas adalah enam jam tangan mewah, lapan buah beg tangan mewah, dua komputer riba, satu unit pemprosesan Pusat (CPU) dan 10 jenis barangan kemas," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata, tahanan reman suspek utama tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis meminta semua pelabur dalam i-Serve yang masih belum buat laporan untuk tampil berbuat demikian.
Jelasnya, laporan daripada pelabur sangat penting bagi membantu siasatan menyeluruh melibatkan kes terbabit.
"Laporan berhubung jumlah pelaburan dilihat penting bagi membantu polis dalam siasatan menyeluruh terhadap i-Serve, QA Partnership, Trillion Cove dan MYAirline.
"Kerjasama daripada semua pihak adalah sangat dihargai bagi membantu polis menyelesaikan kes ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!