Wanita maut dirempuh pemandu remaja 14 tahun
ALOR SETAR - Seorang wanita maut manakala kakaknya parah selepas motosikal Honda Wave dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta Proton Satria yang dipandu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah, petang, semalam.
Mangsa, Nur Syafiqah Abdullah, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan manakala kakaknya, Nooraliza, 43, yang membonceng motosikal mengalami kecederaan di dada, pinggang dan kaki kiri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, Pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat berhubung kemalangan jalan raya yang berlaku di lokasi kejadian pada jam 7.05 petang membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi dua beradik itu dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria terbabit dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan melanggar pembahagi tengah jalan lalu memasuki jalan bertentangan terus merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.
"Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan jalan basah," katanya.
Syed Basri berkata, remaja perempuan terbabit hanya mengalami luka di bahagian hidung.
Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen dan sudah tidak bersekolah.
Katanya, mayat penunggang motosikal itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat manakala turut dihantar ke Unit Kecemasan hospital sama untu rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!