UMNO Selangor cadang perluas kesedaran berzakat
TANJONG KARANG - UMNO Selangor bercadang memperluaskan taklimat zakat di seluruh 22 bahagian di negeri ini bagi menyemarakkan kesedaran berzakat seterusnya membantu asnaf yang memerlukan bantuan.
Pengerusi Biro Agama UMNO Selangor, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, ahli UMNO perlu diberikan kefahaman tepat mengenai kewajipan berzakat.
Menurutnya, masyarakat Islam umumnya mengetahui kewajipan zakat fitrah, namun kesedaran membayar zakat lain seperti zakat pendapatan individu, syarikat dan emas masih rendah.
"Tentulah hasrat besar kita supaya pengetahuan mengenai pembayaran zakat ini menjadi keutamaan kepada semua umat Islam bagi memenuhi rukun Islam ketiga ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Zakat Wakalah di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang berkata, buat permulaan, UMNO bahagiannya itu mengadakan taklimat tersebut.
"Mudah-mudahan dengan taklimat ini kita dapat memberikan kesedaran dan penghayatan kepada seluruh ahli UMNO di negeri ini untuk membayar zakat bagi meningkatkan hasil kutipan yang kemudiannya diagihkan kepada asnaf layak," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan kaunter bergerak di pukal padi di sekitar Tanjong Karang bagi memudahkan pembayar zakat menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Kebanyakan pesawah ini mereka sudah berusia dan ada keterbatasan dan mungkin terpaksa meminta bantuan anak atau cucu yang tidak tinggal atau menetap dalam satu rumah.
"Mungkin LZS boleh menyediakan perkhidmatan kutipan secara bergerak mengikut jadual pemotongan padi di setiap kawasan bagi memudahkan mereka membayar zakat pertanian," jelasnya.
Mengulas mengenai zakat wakalah pula, Sulaiman memberitahu, pembayar zakat diberikan hak oleh LZS untuk mengagihkan zakat kepada asnaf yang layak.
Jelas beliau, menerusi zakat wakalah, ia sudah tentu memberikan motivasi kepada individu atau syarikat untuk melaksanakan tanggungjawab membayar zakat.
"Ini satu galakan kepada pembayar zakat kerana mereka jadi wakil dan mereka boleh menjalin kerjasama dengan NGO (badan bukan kerajaan) untuk mencari senarai nama yang layak untuk dibantu di peringkat kampung dan sebagainya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!