Keputusan Lokman Adam sebar berita palsu 7 November ini
KUALA LUMPUR - Keputusan kes Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyebar berita palsu mengenai virus Covid-19 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, ditangguhkan pada 7 November depan.
Hakim, N Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh itu selepas memaklumkan nota keterangan di akhir kes pendakwaan ini, masih belum disediakan.
Susulan itu, peguam, Logen Eskander yang mewakili pemimpin UMNO ini memohon maaf kepada mahkamah di atas salah faham yang timbul.
Pada 1 Oktober 2021, Lokman, 50, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook menggunakan profil 'Lokman Adam' dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.
Ia menerusi rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19 pada jam 10.55 malam, 3 Mei 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh.
Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Lokman Noor daripada satu lagi pertuduhan, menyebarkan berita palsu di laman sosial sama, berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, pada Mei 2021.
Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKS, pada peringkat akhir kes pendakwaan.
Berdasarkan keputusan berkenaan, pihak pembelaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, namun prosiding berkenaan masih di peringkat pengurusan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!