Puasa sunat demi solidariti isu Palestin, adakah dibolehkan?

TERDAPAT segelintir orang berpuasa sunat sebagai tanda solidariti dalam isu Palestin.
TERDAPAT segelintir orang berpuasa sunat sebagai tanda solidariti dalam isu Palestin.
A
A
A

INSIDEN bumi Palestin kembali bermandi darah menyebabkan ramai yang bersedih dan marah dengan kekejaman dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Semua itu lantang disuarakan menerusi perhimpunan aman membantah tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Ia antara satu cara menzahirkan solidariti buat rakyat Palestin yang dianiaya.

Selain itu, ada juga umat Islam yang melakukan puasa sunat sebagai tanda bersolidariti dalam isu Palestin. Adakah memang ada puasa sunat sebegitu?

Pengguna akaun platform X, @Muzuzxck berkongsikan pandangannya tentang perihal berpuasa kerana bersolidariti.

Terlebih dahulu, beliau yang juga penulis buku kerohanian mengajak kita untuk mendasari bahawa kita beribadah kerana ALLAH SWT.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

SEBAHAGIAN ciapan Muzuza tentang puasa sunat sebagai tanda solidariti isu Palestin dalam akaun platform X miliknya.
SEBAHAGIAN ciapan Muzuza tentang puasa sunat sebagai tanda solidariti isu Palestin dalam akaun platform X miliknya.

Artikel Berkaitan:

“Dalam isu saudara kita yang ditindas di Palestin, maka sangatlah penting bagi kita mendoakan mereka sebaiknya,” katanya sebagaimana yang dikongsikan dalam bebenang platform X miliknya.

Justeru, Muzuza menasihatkan, sebaiknya kita berniat puasa kerana ALLAH SWT pada hari Khamis iaitu hari yang disunatkan berpuasa berdasarkan hadis masyhur tentang puasa sunat.

Daripada Aisyah RA bahawa: “Adapun Nabi Muhammad SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Kemudian sambil kita berpuasa, doakan juga buat saudara kita kerana doa orang berpuasa itu mempunyai keistimewaan.

“Dalam hadis riwayat Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda ‘Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak’,” katanya.

Dalam pada itu, pendakwah itu menjelaskan, menurut kaedah fiqh, kita perlu berbalik kepada kaedah iaitu semua hukum diambil dari dalil sama ada al-Quran, hadis, ijmak mahupun qias (secara sepakat).

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa dalil yang tidak disepakati masih banyak.

“Untuk menanggapi perihal ini, kita berpuasa pada hari Khamis bersempena sunat hari Khamis berdasarkan hadis dan mestilah puasa itu kerana ALLAH.

JANGAN lupa untuk berdoa ketika berpuasa kerana doa orang berpuasa antara yang tidak akan ditolak. -Gambar hiasan
JANGAN lupa untuk berdoa ketika berpuasa kerana doa orang berpuasa antara yang tidak akan ditolak. -Gambar hiasan

“Hal ini kerana tiada puasa yang disunatkan untuk tujuan khusus seperti bersolidariti. Saya yakin, ramai dalam kalangan kita sememangnya berpuasa kerana ALLAH, cuma di sebalik itu, kita punya hajat iaitu mendoakan saudara kita di bumi al-Aqsa.

“Maka sebaiknya buatlah seperti yang dinyatakan iaitu berpuasa sunat hari Khamis dan berdoa buat saudara kita,” ungkapnya.

Walaupun terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa puasa merupakan amalan yang terus kepada ALLAH SWT, namun Muzuza mengingatkan, kita perlu memahaminya dengan jelas.

Ia bukanlah isyarat untuk kita boleh mereka-reka sendiri fadilat berpuasa mengikut cita rasa sendiri, ungkapnya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, nas itu bererti ALLAH akan memberi pahala berganda buat orang yang berpuasa.

“Ingatlah, ALLAH yang menguruskan urusan pahala tanpa diwakilkan kepada malaikat.

“Justeru, ayuh kita berpuasa dengan niat sunat hari Khamis sebagaimana anjuran Nabi Muhammad SAW, kemudian mendoakan saudara kita,” coretnya.

Pada masa sama, Muzuza menitipkan pesanan agar meniatkan amalan puasa sebagai cara mendekatkan diri kepada ALLAH agar DIA mengabulkan hajat kita supaya saudara kita terbela.

“Adapun, jika kita berpuasa dengan niat ‘aku puasa kerana solidariti’, maka ini tidak ada dalam syariah Islam,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!