Juventus tekan kelompok teratas Serie A
JUVENTUS memberikan tekanan buat penghuni kelompok atasan Serie A musim ini setelah melakar kemenangan 1-0 ke atas AC Milan di San Siro awal pagi Isnin.
Pemain tengah, Manuel Locatelli memacu kemenangan Juventus yang ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan selepas menang tipis ke atas AC Milan yang beraksi 10 pemain.
Locatelli muncul wira apabila percubaan terbias sebelum menerjah ke gawang Milan pada minit ke-63.
Nasib malang Milan bermula apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Malick Thiaw dilayangkan kad merah gara-gara menjatuhkan Moise Kean yang mempunyai peluang terbaik untuk menyumbat gol.
Locatelli yang beraksi untuk Milan ketika remaja menitiskan air mata selepas tamat perlawanan dan rembatannya mungkin tidak menerjah jaring jika tidak terkena pertahanan Rade Krunic.
“Sangat istimewa beraksi di sini. Saya sangat emosi selepas hasilkan gol.
“Kehidupan membawa saya ke jalan lain iaitu beraksi dengan pasukan sepatutnya saya wakili,” katanya.
Menerusi kemenangan itu, Juventus ketika ini menduduki tangga ketiga Serie A dengan hanya dibezakan satu mata di belakang pasukan di tangga kedua, AC Milan, dan dua mata di belakang pendahulu, Inter Milan.
Selepas tewas mengejut itu, Milan akan menentang Paris Saint Germain dalam saingan Liga Juara-Juara pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!