Permohonan warganegara: Kebanyakan warga emas gagal ujian Bahasa Melayu

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan pemohon taraf warganegara dalam kalangan golongan warga emas gagal dalam ujian penguasaan Bahasa Melayu, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ujian penguasaan Bahasa Melayu adalah antara syarat bagi permohonan warganegara Malaysia.

"Di luar negara, penguasaan bahasa rasmi atau pertuturan negara berkenaan adalah amalan terbaik yang kita teliti, iaitu mereka yang memohon warganegara dikehendaki boleh berbahasa bahasa rasmi negara berkenaan.

"(Di KDN) Markah tidak lulus (ujian penguasaan Bahasa Melayu) adalah satu dan markah lulus lapan... kadang-kadang mereka yang dapat (markah) dua pun, hanya boleh ucap ‘terima kasih’ kita luluskan... kebanyakan mereka yang usia lama ini, terlalu fasih dalam bahasa asing... ini antara kekangan yang KDN hadapi,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan selain mengambil masa yang lama untuk diluluskan.

Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung dakwaan ketidakseriusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu permohonan taraf warganegara, Saifuddin Nasution berkata dalam tempoh 10 bulan, sebanyak 10,381 permohonan warganegara telah diberi keputusan dengan majoriti kes melibatkan permohonan kanak-kanak.

"Kebanyakan permohonan melibatkan kes anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf... mereka tak boleh ke sekolah dan terpaksa bayar bil hospital yang mahal (kerana tiada taraf warganegara).

"Kita minta pegawai di KDN selesaikan yang ini dahulu, sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu permohonan warganegara kepada rakyat China, ini jahat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan asal Lo berhubung penyelesaian isu penduduk tidak mempunyai dokumen lengkap untuk permohonan warganegara, Saifuddin Nasution berkata beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) untuk membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman untuk mendapatkan dokumen lengkap dan urusan pemohonan warganegara. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!