Pembangunan jangka panjang bantu komuniti B40 di Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan negeri sedia bekerjasama untuk membangunkan rancangan pembangunan jangka panjang yang memberi manfaat kepada semua pihak terutama komuniti berpendapatan rendah.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, antaranya menaik taraf sistem pertanian lama kepada pertanian moden bagi komuniti perumahan agar menjana pendapatan lebih besar bagi menampung pelbagai kos termasuk penyelenggaraan pangsapuri.
Menurutnya, pemerkasaan komuniti melalui konsep kejiranan yang lestari adalah langkah yang sangat penting dalam usaha kita untuk mewujudkan Selangor yang mampan.
"Kejiranan adalah tempat di mana komuniti itu dapat bertemu, bertukar pendapat dan bekerjasama dalam mencapai matlamat bersama.
"Kejiranan yang lestari dan kukuh adalah penduduk merasai selamat, dihormati dan mempunyai akses kepada perkhidmatan penting," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Kesejahteraan Bandar 'Pemerkasaan Komuniti Ke Arah Kelestarian Bandar dan Negeri Selangor Mampan' di Pusat Konvensyen Midland di Seksyen 7 di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datuk Dr Juhari Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Perumahan) Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dalam pada itu, Borhan berkata, Selangor juga adalah sebuah negeri mempunyai peluang yang unik bagi memanfaatkan sumber semula jadi dan kepelbagaian budayanya untuk mencapai matlamat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!