APG 2022: Emas Nur Syaiful suntik semangat kontinjen - Adam Adli
KEHADIRAN emas pertama negara diraih atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli merupakan permulaan positif selain menjadi pembakar semangat buat kontinjen Malaysia untuk terus memburu kejayaan di Sukan Para Asia 2022 di sini.
Keyakinan itu dizahirkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang menyifatkan kejayaan Nur Syaiful itu turut menyuntik rangsangan kepada barisan atlet lain untuk mempamerkan aksi terbaik pada acara seterusnya nanti.
"Ini merupakan pingat pertama buat kontinjen negara, selain Nur Syaiful meraih emas, Zy Lee Kher juga menyumbang pingat gangsa dalam acara sama. Jadi ia sekali gus akan bagi semangat kepada atlet lain,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan aksi di Aquatic Sports Arena pada Isnin.
Sebelum itu, atlet kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu menceriakan kem renang negara selepas menyumbang pingat pertama yang juga pingat emas untuk Malaysia dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) (eng:physical impairment).
Nur Syaiful berpeluang menggandakan emasnya apabila akan turun beraksi pada acara final 50m gaya bebas lelaki SB5 (kecacatan fizikal), petang ini.
Beliau mara ke pentas final acara berkenaan selepas muncul antara lapan perenang terbaik di peringkat saringan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!