30 pelajar ditahan edar dadah
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seramai 30 pelajar ditahan bermula Januari hingga bulan ini terlibat dalam kes itu.
Menurut beliau, kebanyakan yang ditahan berumur 17 tahun ke bawah dan terbaharu melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di daerah Tumpat.
"Mereka ini mungkin mudah terpesona dengan kemewahan selain perpecahan keluarga," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Jelas beliau, faktor itu turut memberi peluang kepada sindiket mempengaruhi pelajar terbabit untuk menjadi pengedar secara kecil-kecilan dan kemungkinan secara serius terutama di sempadan dan kawasan yang ada masalah sosial.
Muhamad Zaki memberitahu, kebanyakan pelajar yang ditahan membabitkan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12/2 ADB 1952.
Bagaimanapun katanya, siasatan terhadap suspek yang memiliki jumlah dadah yang banyak dipercayai mengedar dalam kalangan rakan-rakan.
"Kita sudah mengambil tindakan bersama pejabat pendidikan melalui beberapa perjumpaan dan mesyuarat dan saya percaya pihaknya memberi komitmen yang baik dalam dalam hal ini.
"Pihak sekolah boleh menyalurkan maklumat mengenai perubahan tingkah laku atau melihat gaya hidup berbeza untuk pemantauan dan tindakan," katanya.
Muhamad Zaki juga percaya maklumat masyarakat penting bagi membantu polis membanteras masalah itu secara lebih berkesan.
Sementara itu, pada sidang media sama, beliau memaklumkan seramai 254 ditahan atas pelbagai kesalahan melalui Ops Tapis Khas selama lima hari yang berakhir Ahad.
Pelbagai kesalahan dikesan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!