Graduan OKU cabar diri bersaing dengan pasangan kembar

Wan Nursolehah (kiri) bersama pasangan kembarnya, Wan Nurfatihah selepas menerima skrol sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Nerus pada Isnin.
Wan Nursolehah (kiri) bersama pasangan kembarnya, Wan Nurfatihah selepas menerima skrol sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang graduan orang kurang upaya (OKU) fizikal mengetepikan kekurangan yang ada pada dirinya untuk bersaing secara sihat dengan pasangan kembarnya demi mencapai kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian.

Wan Nursolehah Wan Mohd Fauzi, 25, berkata, dia menjadikan kekurangan diri sebagai motivasi dan menjadikan pasangan kembarnya, Wan Nurfatihah, 25, yang dilahirkan normal bukan sahaja sebagai kakak malah sebagai rakan karib.

Menurutnya, mereka sebelum ini sepakat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Emak selalu pesan supaya saya yakin dan reda dengan apa yang dikurniakan ALLAH SWT ini. Apa yang emak pesan ini saya akan sentiasa semat dihati sampai bila-bila. Sejak dulu saya berazam mahu jadi lebih baik daripada kakak (kembar).

“Sebab itulah saya selalu menjadikan kakak sebagai pembakar semangat. Disebabkan kami belajar dalam bidang yang sama, kami automatik akan selalu bersaing untuk mendapat markah paling tinggi setiap kali peperiksaan, "katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21, di sini pada Isnin.

Ujar Wan Nursolehah, dia berbangga apabila mereka masing-masing berjaya menamatkan pengajian dan miliki minat yang sama dalam bidang psikologi dengan memperoleh Purata Gred Kumulatif 3.50.

"Kadang-kadang saya tiada keyakinan diri dan malu berdepan dengan orang ramai yang melihat saya kurang sempurna berbanding kembar saya dan rakan-rakan yang lain.

"Namun saya tetap bersyukur kerana diberikan nikmat kasih sayang dari keluarga dan rakan seperjuangan tanpa membezakan-bezakan bentuk fizikal saya.

Artikel Berkaitan:

"Kekurangan diri sebenarnya tidak menghalangnya untuk berjaya dalam akademik. Ia bukan halangan, bahkan menjadi pemangkin semangat untuk berjaya. Apa yang penting, saya berjaya dalam hidup dan membanggakan ibu dan bapa," ujarnya.

Difahamkan, Wan Nursolehah mengalami kecacatan di mana tangan kiri dan kaki kirinya lebih pendek berbanding sebelah kanan.

Anak ketiga itu berkata, kesukaran menyesuaikan diri di kampus antara cabaran perlu dilalui memandangkan jarak antara kolej kediaman dengan fakulti agak jauh.

"Saya akui kekurangan ini menyebabkan saya agak sukar untuk bergerak kerana kedudukan kaki yang tidak sama. Saya sering meminta bantuan kakak sepanjang belajar di sini terutama untuk memudahkan pergerakan saya ke kuliah.

"Saya juga bersyukur kerana pihak universiti begitu prihatin dengan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk OKU seperti saya," katanya.

Pasangan kembar tidak seiras itu antara 2,388 graduan UMT diraikan sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!