Demi Palestin, Zul Yahya berbasikal dari Ipoh ke Johor Bharu
BEKAS pelakon dan pelawak, Zul Yahya melunaskan impian untuk berbasikal dari Ipoh ke Johor Bharu dan kembali semula ke Ipoh sebagai solidariti buat Palestin.
Bukan itu sahaja, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya turut membuat kutipan kecemasan bagi disumbangkan ke Palestin.
Dalam satu video yang dimuat naik, Zul Yahya, 50, berkongsi perkembangannya dua hari lalu sebelum tiba di Gopeng.
"Alhamdulillah saya berkayuh naik bukit. Bukit ini antara bukit paling panjang, lebih dua kilometer nak kena mendaki sebelum sampai ke Gopeng.
"Bukit ini panjang. Doa semoga saya selamat (sampai)," kongsinya.
Setelah melalui perjalanan 220 kilometer (km) dan tiba di Kuala Lumpur pada malam 21 Oktober, Zul Yahya disambut beberapa rakan termasuk Datuk Afdlin Shauki.
Menerusi perkongsian secara langsung di akaun TikTok miliknya, bapa kepada enam orang cahaya mata itu dalam perjalanan ke Johor Bharu.
Setakat hari ini, Zul yang merupakan pemilik sebuah kedai makan di Ipoh memulakan kayuhan dari Stadium Kajang pada jam 12 tengah hari Isnin menuju ke Seremban.
Rata-rata warganet turut mendoakan misi Zul Yahya berjaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!