Warga asing hantuk kepala ke dahi anggota tentera - Polis

Berlaku pertengkaran di sebuah kedai karpet di Nilai melibatkan seorang warga asing dan anggota tentera. - Gambar hiasan. Tangkap layar mengenai dakwaan berkenaan.
Berlaku pertengkaran di sebuah kedai karpet di Nilai melibatkan seorang warga asing dan anggota tentera. - Gambar hiasan. Tangkap layar mengenai dakwaan berkenaan.
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Tiada kejadian seorang anggota tentera di kepung sekumpulan warga asing di sebuah kedai karpet di Nilai 3 di sini seperti yang didakwa dalam video tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, sebaliknya hanya berlaku pergaduhan kecil melibatkan anggota tentera dan peniaga warga asing itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada Sabtu lalu jam 7.43 malam yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

"Lelaki berkenaan yang juga seorang anggota tentera menyatakan pada 7 Oktober lepas dia telah membeli sebuah kerusi berbentuk jari di sebuah kedai karpet bertempat di Nilai 3 dengan harga RM70.

"Kerusi tersebut kemudiannya patah setelah digunakan selama dua minggu. Pada Sabtu lalu jam lebih kurang 4.30 petang dia ke kedai tersebut dan meminta untuk tukar ganti kerusi yang baru," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, semasa dalam kedai telah berlaku pertengkaran dan datang seorang lelaki warga asing menghantukkan kepalanya ke dahi pengadu.

"Siasatan awal yang dilakukan mendapati pengadu tidak ada menyatakan 15 orang lelaki warga asing yang mengepungnya, pengadu hanya memberitahu seorang lelaki warga asing telah menghantukkan kepala pada dahinya.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Suspek disyaki seorang lelaki warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sebelum ini tular sebuah video di aplikasi TikTok mendakwa seramai 15 hingga 20 warga asing telah mengepung dan menumbuk rakyat Malaysia yang bertugas sebagai askar.

Video berkenaan mendapat 29,400 tanda suka dengan 3,038 komen, malah pemilik akaun tersebut turut berkongsi sebuah lagi video dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!