Sindiket promosi judi dalam talian kaut untung lebih RM1.1 juta

Yahaya menunjukkan komputer riba yang dirampas susulan penahanan 12 individu disyaki ahli sindiket penipuan yang ditahan di sebuah rumah di Kubang Buaya Jumaat lalu.
Yahaya menunjukkan komputer riba yang dirampas susulan penahanan 12 individu disyaki ahli sindiket penipuan yang ditahan di sebuah rumah di Kubang Buaya Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTAN - Sindiket mempromosi aktiviti perjudian dalam talian yang menjadikan sebuah rumah yang disewa di Kubang Buaya dekat sini sebagai tempat operasi dipercayai telah mengaut keuntungan mencecah lebih RM1.1 juta dalam tempoh 37 hari beroperasi.

Kegiatan haram didalangi sindiket dipercayai berpengkalan di negara Filipina dan China itu bagaimanapun berjaya dibongkarkan Polis Pahang Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan serbuan jam 5.15 petang hari berkenaan, seramai 12 individu termasuk empat wanita berusia 17 hingga 43 tahun dipercayai anggota sindiket perjudian itu telah ditahan.

Menurutnya, suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti mempromosi perjudian melalui komputer dan telefon di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah terbabit.

"Pemeriksaan lanjut di tingkat bawah, polis menemui dan menahan seorang wanita warganegara Indonesia disyaki bekerja sebagai tukang masak dan pencuci pakaian untuk ahli sindiket itu.

"Hasil siasatan mendapati rumah yang disewa itu digunakan sebagai premis mempromosi perjudian dengan menyasarkan kaki judi dari China.

Yahaya menunjukkan antara barang kes termasuk telefon bimbit yang dirampas di sebuah rumah di Kubang Buaya Jumaat lalu.
Yahaya menunjukkan antara barang kes termasuk telefon bimbit yang dirampas di sebuah rumah di Kubang Buaya Jumaat lalu.

"Sindiket ini didapati menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat sebagai medium perhubungan dengan pelanggan di negara berkenaan bagi menawarkan lebih 50 jenis perjudian yang disediakan melalui sebuah laman web perjudian," katanya pada sidang akhbar berkait kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Yahaya berkata, kesemua suspek tinggal di rumah terbabit dan menjalankan aktiviti itu selama 12 jam sehari bermula dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

"Mereka dibayar gaji antara RM 2,000 hingga RM 6,000 sebulan dan mampu mengaut keuntungan sehingga RM 30,000 sehari atau lebih RM1.1 juta setakat ini.

"Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis telah berjaya merampas barang-barang kes termasuk 280 telefon pelbagai jenama, 14 komputer riba, 14 sim kad Telco (China,) dua set wifi, satu modem dan 100 kad bank dari China," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan kini reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Sek. 4B(a) akta yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!