Terengganu rancang kenakan permit khas di lokasi kapal karam

Razali (dua dari kanan) sebelum melakukan aktiviti selaman di lokasi kapal karam di Pulau Kapas.
Razali (dua dari kanan) sebelum melakukan aktiviti selaman di lokasi kapal karam di Pulau Kapas.
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu bakal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan permit khas kepada pelancong yang ingin menyelam di lokasi kapal karam di Pulau Kapas.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perancangan mengenakan SOP itu bagi memastikan artifak serta tinggalan kapal karam di lokasi tersebut dilindungi.

"Kita kena simpan (tinggalan dan artifak) dan perlu ada SOP penjagaan artifak bersejarah daripada bangkai kapal yang karam itu.

"Insya-ALLAH, kita akan bincang secara mendalam (tentang perkara tersebut). SOP dibuat untuk kenal pasti jumlah kapal dan dapat tahu asal usul kapal yang berada di perairan Terengganu ini.

"SOP dibuat ini sama seperti mana dijalankan di tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong di mana nak pergi ke kawasan tersebut kena ada permit khas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi kapal karam di Pulau Kapas, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya tidak akan mengenakan caj kepada pelancong yang ingin menyelam di lokasi berkenaan, sebaliknya menyerahkan urusan mengenai caj tersebut kepada pihak yang mengendalikan selam skuba.

"Kerajaan tidak mahu terlibat dalam urusan mengenai caj. Cuma kita nak buat permit bagi memastikan artifak dan tinggalan di kapal tersebut dijaga rapi dan tidak dicuri.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kenakan SOP, penyelam tidak dibenarkan ambil barangan dan artifak yang ada di kapal karam itu. Bukan nak susahkan pelancong, tetapi nak menjaga kepentingan artifak dalam laut kita," jelasnya.

Penyelam di lokasi kapal karam di Pulau Kapas. - Foto Tourism Terengganu
Penyelam di lokasi kapal karam di Pulau Kapas. - Foto Tourism Terengganu

Sementara itu, Razali menyatakan pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan Galeri Arkeologi Maritim pada tahun depan bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, lokasi cadangan ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukan kawasan tersebut yang strategik dan ia juga sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini.

"Galeri tersebut akan menempatkan pelbagai artifak kapal karam yang terdapat di tiga lokasi negeri ini termasuk Pulau Bidong, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

"Kita juga alu-alukan untuk menempatkan artifak tinggalan kapal karam dari luar Terengganu untuk menjadi sebahagian bahan rujukan di Galeri Arkeologi Maritim yang akan diwujudkan nanti.

"Usaha yang dijalankan itu bagi memulihara warisan sejarah yang ada di dasar laut Terengganu sekali gus menarik kedatangan pelancong terutama peminat sejarah maritim dan arkeo-pelancongan bawah air dari seluruh dunia," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!