Lelaki dilepas dan dibebaskan tuduhan rogol budak umur 4 tahun

Haresh (kiri) dan Ramzani bersama Mohd Zairil (tengah) ketika berada di luar mahkamah.
Haresh (kiri) dan Ramzani bersama Mohd Zairil (tengah) ketika berada di luar mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin daripada tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Zairil Mohd Zin, 50, pada akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan kesemua saksi pendakwaan, membaca penghujahan bertulis kedua-dua pihak dan setelah mahkamah menilai keseluruhan kes pendakwaan dengan penilaian maksima, maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie ke atas kedua-dua pertuduhan.

"Maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan kesalahan yang bertentangan dengan aturan luar tabii kanak-kanak perempuan berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Seramai 14 orang saksi telah memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada April 2019.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Sementara itu, Haresh berkata, keputusan mahkamah itu memberi kelegaan kepada anak guamnya serta dapat membersihkan namanya selepas hampir empat tahun kes berjalan.

Media pada Mac 2019 melaporkan lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu dengan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika isterinya tiada di rumah pada 23 April 2019 di Kuala Klawang, Jelebu.

Pada 24 Mac 2019, ibu mangsa membawa anaknya ke klinik dan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan cabul dan seterusnya membuat laporan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!