Laporan Impak Sosial iktiraf LZNK agensi kewangan sosial Islam bertaraf dunia
ALOR SETAR - Laporan Impak Sosial Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengetengahkan institusi zakat tersebut sebagai penanda aras agensi kewangan sosial Islam bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, ia juga mengiktiraf LZNK sebagai agensi yang berintegriti bagi menaik taraf sosio-ekonomi umat Islam.
Menurutnya, ini kerana kewangan sosial Islam seperti instrumen zakat dan wakaf merupakan salah satu cabang daripada kewangan Islam yang menjadi agenda utama kerajaan pada masa ini.
“Laporan ini mendokumentasikan keberkesanan dan impak aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh LZNK, dengan menggunakan kerangka I-O-O-I (Input - Output - Outcome - Impak.
“Input mendokumentasikan segala bentuk aktiviti dijalankan, Output pula menggariskan keberhasilan aktiviti ini. Outcome menggariskan kesan kepada pemegang taruh dalaman, iaitu pembayar zakat, penerima zakat dan LZNK.
“Sementara Impak, mengukur kesan limpahan kepada pemegang taruh luaran seperti alam sekitar, negara dan masyarakat,” katanya di sini pada Isnin.
Zakaria berkata, laporan berkenaan direncanakan agar menjadi medium pemberitahuan dan penerangan dalam meningkatkan ketelusan dan integriti.
“Ia juga dapat meningkatkan tahap puas hati pembayar zakat, selain menggalakkan lebih ramai penyumbang menunaikan tanggungjawab zakat mereka,” ujarnya.
Menurutnya lagi, laporan tersebut menjadikan LZNK sebagai penanda aras institusi zakat yang bukan sahaja cekap dan berkesan sebagai sebuah agensi kewangan sosial Islam bertaraf dunia, malah memberikan impak besar dalam penyelesaian isu sosio-ekonomi kalangan kurang berkemampuan.
Zakaria memaklumkan, Laporan Impak Sosial LZNK dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sempena World Zakat & Waqf Forum 2023 di Alor Setar pada Khamis lalu.
Laporan Impak Sosial tersebut disediakan oleh penyelidik-penyelidik dari Universiti INCEIF (The Global University of Islamic Finance) diketuai oleh Prof Dr Baharom Abdul Hamid bersama Prof Madya Dr Ziyaad Mahomed dan penyelidik Wiaam Hassan bawah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam (CoISEF) universiti berkenaan.
“Sebagai pusat pengajian tinggi yang fokus terhadap kewangan Islam dan kelestarian, INCEIF berharap Laporan Impak Sosial ini menjadi penyuntik semangat kepada organisasi lain yang berkongsi matlamat dan aspirasi sama, selain menjadi rujukan dunia bukan sahaja dalam bidang perbankan Islam, termasuk berkaitan kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan endownment,” kata Zakaria lagi.
Dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Universiti INCEIF bersama Malaysia International Islamic Finance Centre (MIFC) menerima geran sebanyak RM20 juta bagi tujuan pemerkasaan penyelidikan dan kreativiti dalam bidang Ekonomi Kewangan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!