Maritim tahan bot gaji pekerja asing tanpa permit
KUALA SELANGOR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan sebuah bot nelayan di perairan Kuala Selangor, di sini kerana menggajikan kru warga asing tanpa permit sah dan tidak mempunyai pengenalan diri.
Empat nelayan warga asing itu ditahan semasa melakukan aktiviti perikanan kira-kira 4.2 batu nautika barat Kuala Selangor pada jam 1.20 pagi Isnin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, bot ronda Maritim yang menjalankan rondaan mengesan bot nelayan kelas B1 itu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim mendapati, bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berumur lingkungan 18 tahun hingga 36 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu
menggunakan warga asing tanpa kebenaran.
"Selain itu, semua nelayan warga asing juga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah," jelas beliau.
Mohd Sharenliza berkata, hasil soal siasat difahamkan semua nelayan warga asing telah dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,600 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.
"Turut ditemui di atas bot ketika penahanan dibuat ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur.
"Semua yang ditahan termasuk bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara," tegas beliau.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-
31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!