The Muralz angkat keunikan Pulau Pinang
STUDIO Rawr Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)mempersembahkan filem animasi terbarunya, The Muralz.
Menariknya, sebagai sebahagian usaha memartabatkan filem tempatan, GSC telah mempertontonkan karya sinematik ini melalui GSC International Screens sempena Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF) yang julung kali diadakan pada 5 hingga 25 Oktober ini, dengan sokongan daripada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE).
Animasi yang luar biasa ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan tetapi juga bagi mencetuskan rasa ingin tahu dan menarik minat para penonton menikmati destinasi pelancongan Pulau Mutiara yang mempesonakan.
Pengarah Urusan Studio Rawr Pictures Sdn Bhd, Jeremy Lee berkata, The Muralz merupakan cetusan ideanya sendiri dan visinya untuk projek ini adalah mengetengahkan konsep daya ketahanan, empati serta hubungan manusia.
“Selain penghormatan kepada Pulau Pinang, The Muralz berperanan sebagai simbol harapan, yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia bagi memupuk sifat kasih sayang dan kerjasama dalam kesusahan.
“Melalui The Muralz, saya bukan sekadar menyampaikan sebuah cerita, malah turut menghulurkan undangan kepada dunia untuk membentuk masa depan yang berlandaskan kebaikan dan perpaduan,” ujarnya.
Menerusi filem pendek ini, penonton akan dibawa ke jalan-jalan Pulau Pinang yang tenang, sunyi dan hampir lengang, berlatarbelakangkan wabak Covid-19.
“Filem animasi ini membuktikan kuasa perpaduan dan semangat kemanusiaan, ia mengingatkan kita bahawa sifat kasih sayang dan kerjasama yang wujud dalam kalangan manusia membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut tentang The Muralz, sila layari https://rawr-pictures.com/ dan maklumat tentang MAFF, sila layari https://www.gsc.com.my/international-screen/malaysia-animation-film-festival-2023/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!