45.5 peratus pekerja di Jepun tidak cukup tidur - Kajian
TOKYO - Sejumlah 45.5 peratus pekerja di Jepun tidur kurang daripada enam jam sehari, menurut kajian terbaharu yang dijalankan di negara ini.
Menerusi kertas putih yang diluluskan oleh Kabinet Jepun awal bulan ini, 10.0 peratus responden mendakwa mereka tidur kurang daripada lima jam setiap malam, 35.5 peratus hanya tidur antara lima dan enam jam, manakala 35.2 peratus antara enam dan tujuh jam, lapor Xinhua.
Kajian itu melibatkan 10,000 pekerja, kira-kira 70 peratus daripada mereka yang mendapat jumlah tidur mencukupi tidak berisiko mengalami kemurungan atau kegelisahan.
Menurut kajian kementerian kesihatan, 27.4 peratus hingga 38.5 peratus pekerja yang tidak mendapat tidur yang cukup disyaki mengalami kemurungan atau kebimbangan.
Kementerian itu berkata, terdapat keperluan untuk merombak tempoh waktu bekerja bagi membolehkan pekerja mendapat tidur yang cukup demi mengekalkan kesihatan mental. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!